Wednesday, 2 October 2013

EVOLUSI INDUSTRI MAKANAN HALAL DI MALAYSIA

         Sekitar dua puluh tahun lalu, istilah halal dan haram tidaklah begitu popular dan jarang digunakan dalam industri makanan. Namun hari ini, ia telah menjadi semakin dikenali sebagai satu elemen penting yang mendominasi industri makanan dan ia berkembang menjadi satu jenama yang utama dalam pasaran makanan halal. Hal ini berlaku apabila populasi penduduk meningkat melebihi bekalan makanan dan pengusaha Islam terpaksa mengimport makanan daripada negara-negara bukan Islam seperti Thailand dan Australia untuk memenuhi keperluan tempatan. Tetapi malangnya, kebanyakan produk-produk makanan yang diimport seperti dari Eropah gagal untuk melepasi panduan halal menurut undang-undang Islam. Kesannya, penduduk mengalami kekurangan keperluan bekalan makanan halal kerana terpaksa menolak makanan yang tidak mengikut piawaian halal. Menyedari akan hal ini, Malaysia mula mengambil langkah untuk membangunkan keupayaan dalam bidang pemeriksaan, pemantauan, pempiawaian dan pensijilan standard serta menggalakkan industri halal.
             Istilah halal kini telah mengalami penjenamaan dalam mengkomersialkan produk makanan melalui logo dan pensijilan halal. Dalam keadaan persaingan pasaran dunia yang semakin sengit, penekanan terhadap aspek penjenamaan adalah penting untuk meningkatkan pemasaran produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Hal ini dilihat lebih penting dalam memasarkan produk makanan halal dengan menggunakan penjenamaan halal melalui logo dan sijil halal. Malaysia merupakan negara yang mempunyai kelebihan untuk bersaing dalam pasaran domestik dan antarabangsa kerana kelebihan daripada permintaan, sokongan kerajaan dan kos mendapatkan logo serta sijil halal.

          Sehubungan itu, fenomena penjenamaan halal ini telah menjadi pemangkin kepada pembangunan piawaian halal Malaysia. Malaysia telah menjadi negara pertama yang memperkenalkan dan membangunkan piawaian bagi pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan produk makanan halal. Kerajaan Malaysia melalui Institut Penyelidikan dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah merangka dan membangunkan piawai Malaysia MS1500 Garis Panduan Asas bagi Pengeluaran, Penyediaan, Pengawalan dan Penyimpanan Makanan Halal yang merangkumi pematuhan piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Amalan Kebersihan Baik (GHP). Kewujudan pembangunan piawaian Halal Malaysia ini dapat mengukuhkan penjenamaan halal dalam industri makanan melalui logo dan pensijilan halal yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

                 Bagaimanapun, pengaplikasian GMP mahupun GHP dalam konsep halal ini didapati tidak menggunakan garis panduan yang disarankan oleh Islam sepenuhnya. Kedua-dua piawaian antarabangsa ini adalah bentuk piawaian konvensional yang diaplikasikan hanya untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan proses kerana piawaian ini hanya menggunakan penilaian teknikal berdasarkan bukti saintifik sahaja. Dalam aspek pembangunan industri makanan halal, Malaysia selaku negara Islam yang mempunyai kelebihan daya saing dan berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi hab bagi promosi, pengedaran dan pengeluaran makanan halal sangat memerlukan piawaian halal yang sebenar mengikut undang-undang Islam dan memenuhi aspek pengurusan kualiti Islam yang menyeluruh. Oleh itu, usaha membangunkan industri makanan halal dari segala aspek dilihat terus berlaku demi menjaga kesucian konsep halal yang diperkenalkan dalam al-Quran di samping memperkenalkan jenama halal sebagai imej Islam sebenar.




Logo HALAL Malaysia

Logo HALAL antarabangsa yang diiktiraf oleh JAKIM

No comments:

Post a Comment